Negara Itali yang disatukan pada
tahun 1861, banyak menyumbang
kepada perkembangan kebudayaan dan sosial di seluruh rantau Mediterranean. Banyak sekali budaya dan tamadun yang wujud sejak zaman
prasejarah.
Selepas wilayah ini dikuasai oleh Republik dan Empayar
Rom selama
berabad-abad lamanya, bangkitnya sebuah bangsa Itali yang membawakan kita
sumbangan yang tidak terbilang. Antara sumbangan ini membolehkan perkembangan
falsafah, sains dan kesenian Eropa sewaktu Zaman
Pertengahan dan Pembaharuan (Renaissance).
Setelah didominasi oleh negara
kota sepanjang zaman
Pertengahan dan Pembaruan, semenanjung
Itali turut mengalami
penguasaan asing. Setengah kawasan di Itali diilhakkan dengan empayar-empayar Sepanyol, Austria dan Napoleon, manakala Vatikan tetap menguasai bahagian tengahnya, sebelum seluruh
semenanjung akhirnya dibebaskan lalu disatukan dalam banyak pergelutan pada abad ke-19 dan ke-20.
Pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20, iaitu zaman Negara Beraja Itali, negara ini membina sebuah empayar jajahan yang meliputi sesetengah kawasan di Afrika serta negeri-negeri di sepanjang Laut Mediterranean.
Itali mengalami kerugian besar dalam Perang Dunia Pertama tetapi akhirnya berada di pihak pemenang. Puak Fasis pimpinan Benito
Mussolini mengambil alih
tampuk pemerintahan dan menubuhkan pemerintahan diktator yang autoritarian pada
tahun 1922-43. Itali merupakan sekutu rendah Jerman
Nazi dan Jepun pada Perang Dunia Kedua. Selepas kawasan selatan dibebaskan pada tahun 1943,
pejuang Fasis terus berjuang hingga menyerah kalah pada tahun 1945 sebagai "Republik Salò". Itali merupakan medan tempur yang sengit sekali ketika itu.
Pada tahun 1946, ekoran pungutan suara, pemerintahan
beraja di Itali dibubarkan,[1] dan pada 2 Juni 1946 lahirnya Republik Itali. Pada
1950-an dan 1960-an, Itali menikmati pemodenan pesat dan pembangunan ekonomi
yang wujud selepas
tinggalan malapetaka Perang Dunia Kedua. Sejak itu, Itali telah menjadi
salah sebuah negara pengasas Komuniti Ekonomi Eropa (kini Kesatuan
Eropa), di samping
menganggotai PBB, NATO, UNESCO, G7 (kemudian menjadi G8), G20, dan OECD.
Isi kandungan
Prasejarah dan Rom
Purba
Bangunan Colosseum di Rom, ca. 70 – 80 M.
Kerja-kerja ekskavasi
di seluruh Itali membuktikan kehadiran manusia moden yang begitu lama sejak
zaman Paleolitik, sekitar 200,000 tahun dahulu.[2] Dari segi kebudayaan dan linguistik, asal-usul sejarah Itali boleh
dijejaki seawal-awal abad ke-9 SM, apabila kisah-kisah terawal
mentarikhkan kehadiran puak-puak Italik di tengah-tengah Itali moden. Secara linguistik, mereka
terdiri daripada Oska, Umbria dan Latin. Lama-kelamaan, kebudayaan Latin menjadi dominan apabila Rom bangkit sebagai kota yang paling berkuasa sekitar tahun
350 SM. Tamadun-tamadun pra-Rom yang pernah menduduki Itali termasuklah Magna Graecia di Itali Selatan dan tamadun Etruska yang mekar sekitar 900 hingga 150 M di rantau Utara
Tengah, Lembah Po, Latium dan Campania.[3]
Pada abad ke-17 hingga ke-11 SM, orang Yunani Mycenae menjalin hubungan dengan Itali[4][5][6][7][8][9][10]; pada abad ke-8 dan ke-7 SM, jajahan-jajahan Yunani ditubuhkan di sepanjang pantai Sicily dan kawasan selatan Semenanjung Itali yang dikenali
sebagai Magna Graecia. Rom Purba pada awalnya merupakan sebuah komuniti
pertanian kecil yang diasaskan sekitar abad ke-8 SM yang membangun sepanjang
zaman hingga menjadi empayar
gergasi yang meliputi
seluruh Laut Mediterranean, di mana kebudayaan Yunani dan Rom bergabung menjadi satu tamadun. Tamadun ini
begitu berpengaruh sekali sehingga kesan yang ditinggalkannya masih wujud dan
dipakai dalam undang-undang, pentadbiran pusat, falsafah dan seni moden, maka ia telah meninggalkan asas buat seluruh tamadun
Barat. Dalam zaman
kemerosotan beransur-ansur sejak akhir abad ke-4 M, empayar ini akhirnya
berpecah menjadi dua pada tahun 395 M, ia itu: Empayar
Rom Barat dan Empayar
Rom Timur. Empayar barat
yang menerima tekanan orang Goth akhirnya dibubarkan, menyebabkan semenanjung Itali
terbahagi kepada negara-negara kecil yang bebas dan negeri-negeri kota yang saling berbalahan selama 1,300 tahun seterusnya,
maka tinggal sahaja empayar timur sebagai pewaris tunggal pusaka Rom.
Zaman Pertengahan
Jata empat Republik Maritim. Mengikut arah jam, mulai kiri atas: Venice, Genoa, Pisa, Amalfi.
Pada abad ke-6, Maharaja Byzantium, Justinian menakluki semula Itali daripada puak Ostrogoth, tetapi cubaan baginda untuk menghidupkan semula Empayar
Rom Barat dipatahkan oleh
sebuah puak Germanik yang baru iaitu orang Lombard, tetapi kegagalan Justinian ini meninggalkan kesan
jangka panjang. Selama 13 abad yang kemudian, ketika negara baru didirikan di tanah-tanah di utara banjaran Alps,
persada politik Itali berupa cantuman negeri kota, pemerintahan zalim yang kecil-kecilan, dan penceroboh
asing yang saling bermusuhan.
Pada zaman kekosongan tampuk pemerintahan inilah kawasan
Itali menyaksikan kebangkitan konsep Signoria dan Comune. Dalam keadaan serba anarki yang menguasai negeri-negeri
kota Itali ini, rakyat jelata mengharapkan orang kuat untuk memulihkan
ketenteraman serta melucutkan senjata golongan bangsawan yang berbalahan. Itali
pada zaman ini juga digambarkan oleh republik-republik saudagar. Negeri-negeri kota ini yang sebenarnya
diperintah oleh oligarki ini, mempunyai kelas saudagar yang dominan dan menikmati
kebebasan relatif yang memupuk kemajuan akademik dan kesenian.
Empat Republik Maritim klasik di Itali ialah Venice, Genoa, Pisa dan Amalfi. Venice dan Genoa merupakan pintu masuk Eropah kepada
perdagangan dengan negara Timur, khususnya Venice selaku pengeluar kaca venetia yang terkenal. Firenze (Florence) pula merupakan pusat
pengeluaran sutera, sakhlat, perbankan dan permata. Republik Maritim ini banyak terlibat dalam Perang
Salib, dengan mengambil
kesempatan ke atas peluang politik dan perdagangan yang baru, terbukti sekali
oleh kempen penaklukan Zara dan Constantinople yang dibiayai oleh Venice.
Zaman Pembaharuan
(abad ke-15–16)
Penciptaan
Adam oleh Michelangelo.
Wabak Maut
Hitam sekitar tahun
1348 meninggalkan kesan di Itali dengan meragut nyawa satu pertiga penduduknya.[11] Bagaimanapun, rantau Itali bangkit juga daripada
malapetaka Maut Hitam dan menyaksikan kebangkitan semula kota-kota, kegiatan
perdagangan dan ekonomi yang banyak mendorong pergerakan Humanisme dan Zaman
Pembaharuan yang terkenal
sekali kerana pencapaian kebudayaannya. Kisah kesusasteraan Zaman Pembaharuan biasanya bermula dengan Petrarch (yang dikenang kerana jujukan soneta vernakular yang diperhalusi dengan rapi dalam Canzoniere serta memulakan kegilaan mengumpul buku) dan rakan
sebayanya,Boccaccio (pengarang Decameron). Antara pemuisi-pemuisi vernakular terkenal pada abad
ke-15 termasuk pengarang-pengarang epik Luigi Pulci (Morgante), Matteo Maria Boiardo(Orlando Innamorato), dan Ludovico Ariosto (Orlando Furioso). Pengarang abad ke-15 seperti pemuisi Poliziano dan ahli falsafah Platonis, Marsilio Ficino menjayakan terjemahan yang menyeluruh daripada
sumber-sumber berbahasa Latin dan Yunani. Pada awal abad ke-16,Castiglione (Il
Cortegiano) mengemukakan
wawasannya akan lelaki dan wanita yang diidamkan, manakala Machiavelli memandang kritis "la verita effetuale delle cose"— kebenaran sebenar tentang
perkara— dalam Si Putera, yang dikarang dengan gaya humanisme, terutamanya
contoh-contoh VirtĂą kuno dan moden yang selari. Seni lukis Zaman Pembaharuan Itali meninggalkan pengaruh yang dominan dalm lukisan Eropah
yang menyusulinya berabad-abad kemudian (rujuk Seni lukis Barat), dengan tokoh-tokoh seni seperti Giotto di Bondone, Masaccio, Piero della Francesca, Domenico Ghirlandaio, Perugino, Michelangelo, Raphael, Botticelli, Leonardo
da Vinci, dan Titian. Begitu juga dengan seni bina yang diamalkan oleh Brunelleschi, Leone Alberti, Andrea Palladio, dan Bramante. Hasil kerja mereka termasuk Gereja Besar Florence, Basilika St. Peter di Rom, dan Tempio Malatestiano di Rimini (antara lainnya, tidak lupa juga banyak
kediaman persendirian yang tersergam). Akhirnya, Percetakan Aldine yang
diasaskan oleh Aldo Manuzio dan bergiat di Venice, membangunkan taip Condong (italik) dan buku cetakan yang kecil, ringan, murah dan
boleh dibawa dalam poket pun, di samping juga menjadi yang pertama untuk
menerbitkan buku dalam bahasa Yunani Kuno.
Penguasaan asing dan Perang Napoleon (abad ke-17–19)
Bendera Kerajaan Napoleon Itali.
Sejarah Itali pada zaman Moden Awal disifatkan dengan dominasi kuasa asing. Ekoran Perang Itali (1494 hingga 1559), Itali menikmati zaman kedamaian yang
agak lama, mula-mula di bawah naungan Sepanyol Habsburg (1559 – 1713) diikuti oleh Austria
Habsburg (1713 – 1796).
Wabak Maut
Hitam kembali berulang
untuk menghantui Itali sepanjang abad ke-14 hingga ke-17. Wabak tahun 1575–77
meragut lebih kurang 50,000 nyawa di Venice.[12] Pada separuh awal abad ke-17, satu lagi wabak
menyebabkan kematian 1,730,000 mangsa, atau sekitar 14% penduduk Itali.[13] Wabak Besar Milan terjadi pada tahun 1629 hingga 1631 di Itali utara, yang
mana bandar-bandar Lombardy dan Venice paling teruk terjejas dengan kadar kematian yang tinggi.
Pada tahun 1656, wabak itu membunuh lebih kurang separuh daripada 300,000 orang
penduduk Naples.[14]
Sewaktu Perang
Napoleon, bahagian utara
Itali diserang lalu disusun semula sebagai sebuah kerajaan Itali baru yang merupakan negara pelanggan Empayar Perancis mulai tahun 1796 hingga 1814, sementara bahagian selatan
semenanjung ditadbir oleh Joachim
Murat, adik ipar
Napoleon yang ditabalkan sebagai Raja Naples. Kongres
Vienna (1814) memulihkan
situasi pada akhir abad ke-18, tetapi ini diubah oleh pergerakan penyatuan
Itali yang baru
bermula.
Penyatuan Itali dan Itali Liberal (1861–1922)
Pembentukan Kerajaan Itali merupakan hasil usaha nasionalis dan monarkis Itali yang
taat setia kepada Wangsa Savoia untuk menubuhkan sebuah negara bersatu yang meliputi
seluruh Semenanjung Itali. Dalam konteks revolusi-revolusi liberal yang melanda Eropah sekitar tahun 1848, Itali mengisytiharkan perang terhadap Austria tetapi tidak berjaya. Giuseppe Garibaldi memimpin pergerakan penyatuan Itali republikan di Itali
selatan,[15] sementara Kerajaan Piedmont-Sardinia di Itali utara yang diketuai oleh Camillo Benso, conte di Cavour, bercita-cita untuk mengasaskan sebuah negara Itali
bersatu di bawah pemerintahannya. Negara beraja itu berjaya mencabar Empayar
Austria dalam Perang Kemerdekaan Itali Kedua dengan bantuan Napoleon III, lantas membebaskan Lombardy-Venetia. Kerajaan tersebut menjadikan Turin sebagai ibu negara baru itu; pada tahun 1865, ibu negara
berpindah ke Florence.
Pada tahun 1866, Vittorio Emanuele II menyekutukan negaranya dengan Prusia sewaktu Perang Austria-Prusia, maka tercetusnya Perang Kemerdekaan Itali Ketiga yang membolehkan Itali mengilhakkan Venice. Pada tahun
1870, apabila Perancis meninggalkan kedudukannya di Rom kerana kalah teruk
dalam Perang Perancis-Prusia, Itali bergegas untuk mengisi kekosongan kuasa dengan
mengambil alih Negeri
Kepausan daripada
kedaulatan Perancis.
Askar-askar infantri Itali ("Arditi") pada
tahun 1918. Seramai 650,000 askar Itali gugur dalam medan pertempuran Perang Dunia Pertama.
Akhirnya Itali berjaya disatukan, dan tidak lama kemudian
ibu negara Itali berpindah dari Florence ke Rom. Sambil memelihara sistem beraja, pemerintahan
Itali mengamalkan sistem parlimen yang dikuasai oleh golongan liberal.
Sementara Itali Utara menikmati pengindustrian dan pemodenan pesat, Itali Selatan dan kawasan-kawasan luar bandar di utara masih
terpinggir daripada arus pembangunan, sehingga jutaan orang terpaksa berhijrah
ke Segi Tiga Perindustrian yang memuncul ataupun ke luar negara. Statut Alberto Sardinia 1848, meluaskan seluruh Kerajaan Itali pada tahun 1861, dan membenarkan kebebasan asas, tetapi
undang-undang pilihan raya melarang golongan tidak berharta dan tidak
berpendidikan daripada mengundi. Pada tahun 1913, hak mengundi sejagat
diberikan kepada kaum lelaki sahaja. Parti Sosialis Itali semakin kuat menyaingi pertubuhan-pertubuhan liberal dan
konservatif tradisional. Gelombang penghijrahan keluar dari Itali memuncak pada tahun 1913, apabila 872,598 orang
meninggalkan negara itu.[16]
Mulai dua puluh tahun terakhir abad ke-19, Itali bangkit
menjadi sebuah kuasa penjajah dengan memaksa Somalia, Eritrea, Libya dan Dodecanese ke bawah pemerintahannya.[17] Ketika Perang Dunia Pertama, Itali pada mula-mulanya berpendirian berkecuali tetapi
pada tahun 1915, ia menandatangani Perjanjian London untuk menyertai Pakatan atas janji menerima Trento, Trieste, Gorizia and Gradisca, Istria dan Dalmatia utara dari Empayar Austria-Hungary serta sebahagian wilayah Empayar Uthmaniyyah. Dalam peperangan itu, lebih 650,000 orang askar Itali
gugur,[18] dan ekonomi negara pun tumbang. Mengikut
Perjanjian-Perjanjian Damai Saint-Germain, Rapallo and Rom, Itali memperoleh sebahagian besar wilayah yang
dijanjikan, termasuk pekan Fiume. Walaupun demikian, kemenangan Itali ini disifatkan
sebagai “dicacatkan” oleh puak nasionalis, kerana kebanyakan wilayah Dalmatia
diberikan kepada Yugoslavia.
Itali Fasis (1922–1945)
Benito Mussolini.
Pergolakan yang menyusuli kemusnahan Perang Dunia Pertama
dan dibangkitkan oleh Revolusi Rusia menyebabkan Itali dalam keadaan porak-peranda dan
anarki. Pentadbiran liberal yang bimbang akan revolusi sosialis di negara mulai menyokong Parti Fasis Negara, sebuah parti kecil yang dipimpin oleh Benito
Mussolini. Pada Oktober
1922, parti fasis itu cuba merampas kuasa (Marcia su Roma,
"Perarakan di Rom") dengan sokongan Raja Vittorio Emanuele III. Pada tahun-tahun berikutnya, Mussolini membentuk
pemerintahan diktator dengan melarang semua parti politik lain sambil menindas
kebebasan peribadi. Pada tahun 1935, tindakan Mussolini menyerang Habsyah, menyebabkan Itali dipulaukan oleh masyarakat dunia dan
terpaksa menarik diri dari Liga Bangsa-Bangsa. Akibatnya, Itali berpakat dengan Jerman
Nazi dan Empayar
Jepun, serta menyokong
kuat Franco dalam Perang Saudara Sepanyol. Pada tahun 1939, Itali menduduki Albania, sebuah negeri naungan de facto selama puluhan tahun, lalu terjebak dalam Perang Dunia Kedua di sisi kuasa
Paksi pada tahun 1940.
Oleh sebab mendahagakan kemenangan segera seperti Blitzkrieg yang dijayakan oleh Hitler di Poland dan Perancis,
kerajaan Mussolini menyerang Greece pada Oktober 1940, tetapi terpaksa akur kepada kebuntuan
yang mengaibkan berbulan-bulan kemudian. Pada tahun yang sama, Itali yang
awalnya menawan Somalia British dan sebahagian Mesir menerima serangan balas pihak Berikat yang menyebabkan
Itali hilang semua taklukannya di Tanduk
Afrika dan Afrika
Utara.
Kemudian, Itali diserang oleh pihak Berikat pada Julai
1943, menyebabkan rejim Fasis dan Mussolini akhirnya tumbang, dan Itali
terpaksa menyerah kalah dua bulan kemudian. Negara ini masih menjadi medan
pertempuran hingga akhir perang, kerana pihak Berikat berarak dari selatan ke
utara yang menjadi pangkalan angkatan-angkatan yang taat kepada puak fasis
Itali dan Nazi Jerman yang juga ditentang oleh gerakan penentangan Itali. Pada 2 Mei 1945, berakhirnya sebuah pertelagahan yang
berpanjangan dan menelan hampir separuh juta orang Itali (termasuk orang awam), dan membinasakan seluruh ekonomi Itali; pendapatan per
kapita pada tahun 1944 berada di takat terendahnya sejak awal abad ke-20.[20]
Pada tahun 1946, putera Vittorio Emanuele III, Umberto
II, dipaksa turun
takhta.Itali menjadi sebuah republik hasil pungutan
suara yang diadakan
pada 2 Jun 1946, tarikh keramat yang kini diraikan sebagai Hari Republik. Ini juga kali pertama kaum wanita Itali diberi hak
mengundi.Perlembagaan Republik diluluskan dan berkuatkuasa pada 1
Januari 1948. Mengikut Perjanjian Damai Paris pada tahun 1947, sempadan timur diserahkan kepada Yugoslavia; kemudian, republik bebas Trieste dibahagikan antara kedua-dua negara berkenaan.
Kebimbangan para pengundi Itali akan rampasan kuasa Komunis terbukti penting buat keputusan pilihan raya hak
mengundi sejagat sepenuhnya yang pertama pada 18 April 1948, apabila parti Demokrat Kristian pimpinan Alcide De Gasperi memenangi pilihan raya itu dengan 48% undian. Pada
1950-an, Itali menganggotai NATO dan bersekutu dengan Amerika Syarikat. Rancangan Marshall membantu memulihkan ekonomi Itali supaya menikmati
“Keajaiban Ekonomi” yang pesat membangun hingga 1960-an. Pada tahun 1957, Itali
merupakan anggota pengasas Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), yang menjadi Kesatuan
Eropah (EU) pada tahun
1993.
Sejak akhir 1960-an hingga akhir 1980-an, negara ini
mengharungi krisis ekonomi yang teruk dan “Zaman Timah Hitam” yang disifatkan oleh konflik sosial yang berleluasa dan
kegiatan pengganas yang dijalankan oleh gerakan luar parlimen. Zaman Timah
Hitam memuncak dengan pembunuhan ketua parti Demokrasi Kristian, Aldo Moro pada tahun 1978, maka berakhirnya “Kata Sepakat Bersejarah” antara parti Demokrasi Kristian dan Parti Komunis Itali. Pada 1980-an, buat kali pertama sejak tahun 1945, Itali
dipimpin oleh perdana menteri bukan Demokrasi Kristian, iaitu seorang
republikan (Giovanni Spadolini) dan seorang sosialis (Bettino
Craxi); namun begitu,
parti Demokrasi Kristian kekal sebagai kuasa utama yang menyokong kerajaan. Parti Sosialis Itali (PSI) pimpinan Bettino
Craxi makin hari makin
memandang serong Komunis dan Kesatuan
Soviet, sehingga beliau
menyokong tindakan Presiden AS, Ronald
Reagan meletakkan misil Pershing di Itali yang ditentang hebat oleh Parti Komunis.
Pada tahun 1992 hingga 1994, Itali berdepan dengan
cabaran getir kerana para pengundi yang kecewa dengan kelumpuhan politik masa
lalu, hutang kerajaan keliling pinggang dan gejala korupsi yang berleluasa yang
bergelar Tangentopoli setelah didedahkan oleh siasatan ‘Tangan Bersih’), maka mereka menuntut pembaharuan politik, ekonomi dan
etika. Skandal-skandal ini melibatkan semua parti besar, khususnya parti
campuran pemerintah: pada tahun 1992 hingga 1994,Demokrat Kristian mengalami krisis yang parah lalu terpaksa dibubarkan dan
berpecah kepada beberapa parti kecil, begitu juga dengan Parti Sosialis Itali dan parti-parti kecil yang menyertai campuran itu. Parti
Komunis disusun semula sebagai sebuah parti demokrasi
sosial.
Pilihan raya 1994 menjulang Silvio
Berlusconi sebagai Perdana
Menteri. Bagaimanapun, beliau terpaksa mengundurkan diri pada Disember tahun
itu apabila Parti Lega
Nord menarik balik
sokongannya. Pada April 1996, pilihan raya kebangsaan berpihak kepada parti
campuran berhaluan kiri-tengah pimpinan Romano
Prodi. Kerajaan pertama
Prodi adalah yang ketiga paling lama berkuasa sebelum beliau kalah dalam undian
percaya pada Oktober 1998. Kerajaan baru dibentuk oleh Massimo D'Alema, tetapi beliau meletak jawatan pada April 2000.
Pada tahun 2001, pilihan raya kebangsaan memihak kepada parti campuran berhaluan kanan-tengah
pimpinan Silvio Berlusconi yang kembali menyandang jawatan Perdana Menteri.
Berlusconi dapat mempertahankan kuasanya sepanjang mandat lima tahun
selengkapnya, tetapi dengan dua tempoh pemerintahan yang berasingan. Yang
pertama (2001–2005) merupakan kerajaan yang paling lama bertahan di Itali
pasca-perang. Di bawah kepimpinan itu, Itali menyertai pakatan tentera yanf diketuai oleh AS
di Iraq. Pilihan raya 2006 dimenangi oleh haluan kiri tengah dan membuka laluan
Prodi untuk membentuk kerajaan kedua, tetapi pada awal tahun 2008, Prodi
meletak jawatan setelah kalah dalam undian percaya di Parlimen. Berlusconi
memenangi pilihan raya April 2008 untuk membentuk kerajaan buat kali ketiga.
Sumber : Wikipedia
0 komentar:
Posting Komentar